9 Wanita disukai lelaki
WANITA itu adalah perhiasan seisi dunia. Dan sebaik-baik perhiasan itu adalah yang menyejukkan mata. Yang menyejukkan mata itu juga biarlah yang mendamaikan hati.
Orang selalu sebut cinta itu akan lahir dari mata lalu turun ke hati. Dari penglihatan dan penampilan seseorang itu sahaja kita boleh membuat anggapan awal terhadap seseorang walaupun tidak semuanya tepat.
Hari ini saya kongsikan 9 wanita yang sering diminati dan disukai oleh kaum lelaki
1. Kuat agama.
Lelaki yang soleh adalah diciptakan untuk wanita yang solehah. Andai anda mahukan ciri suami anda itu adalah seorang yang beriman dan beragama, maka seharusnya anda perlu memenuhi diri anda dengan kriteria itu juga. Lelaki yang benar-benar ikhlas dalam percintaannya akan memilih ini sebagai perkara asas pertama dalam mencari bakal isterinya.
2. Memelihara penampilan.
Lelaki biasanya akan tertarik kepada wanita yang sentiasa menjaga penampilannya. Tak kiralah di rumah, di tempat kerja, bersama keluarga, dating atau di mana-mana sekali pun, wanita yang sentiasa menjaga kebersihan, pemakaian dan perwatakan dirinya akan mudah untuk didampingi oleh lelaki.
3. Lemah lembut.
Yang ini saya tidak nafi. Hampir semua lelaki akan tertarik kepada wanita yang lemah dan lembut. Lemah lembut ini membawa pengertian bahawa seorang wanita yang sentiasa merendahkan suara ketika berkata-kata, tenang dalam tindakan, tunduk pandangannya semasa di mata masyarakat dan bijak dalam mengawal emosi perasaan dalam apa juga keadaan.
4. Keanak-anakan.
Nombor empat ini kebiasaanya lelaki akan cenderung untuk tekankan. Seorang wanita perlu mempunyai sifat ini agar ia mudah untuk didampingi oleh lelaki. Tak kisah anda sudah menjadi isteri atau masih mencari pasangan. Seorang suami atau lelaki amat suka kepada isterinya yang bersifat keanak-anakan. Keanak-anakan ini saya maksudkan ialah pandai dalam menunjukkan sifat manja, kasih dan sayang kepada pasangan. Seorang wanitaitu sendirinya lahir dengan sifat manja, lembut dan riang.
5. Sentiasa menjaga maruah diri.
Wanita wajib memelihara maruah dirinya sendiri. Wanita yang sering menjadi kesukaan lelaki adalah wanita yang pandai menjaga dirinya sendiri. Dia tahu bila dan di mana dia perlu membawa dirinya. Dia juga arif bagaimana untuk mengawal hubungan dan komunikasi bersama lelaki-lelaki lain. Wanita yang sentiasa menitik beratkan perkara ini sering kali akan menambat hati lelaki dengan lebih lagi.
6. Memahami.
Seorang lelaki suka kepada wanita yang memahami dirinya. Isteri seorang petani harus arif untuk belajar cara hidup seorang isteri si petani. Isteri seorang artis juga mesti tahu bahawa suaminya adalah milik jutaan peminat di mata masyarakat. Jadi, siapa pun suami atau kekasih anda, anda perlu sentiasa memahami pasangan anda. Lelaki amat tidak selesa kepada wanita yang kurang memahami dirinya.
7. Pandai bergaul dan menyesuaikan diri.
Wanita perlu juga bijak menyesuaikan diri di mana juga dia berada. Di kampung, maka buatlah cara di kampung. Kalau di bandar pun begitu. Berhadapan dengan orang tua dah tentu berbeza bila bergaul dengan golongan muda. Sikap wanita yang mudah untuk bergaul dengan sesiapa pun golongan manusia, akan menjadi bonus buat diri anda sebagai seorang wanita.
8. Mempunyai sifat ibu.
Sifat keibuan ini memang ada pada setiap wanita. Cuma anda sudah tonjolkan atau pun masih belum. Prihatin, mengasihani dan penyayang adalah antara sifat keibuan yang diminati oleh kaum lelaki. Nilai keibuan ini tidak semestinya ada pada wanita yang sudah melahirkan anak atau yang sudah berumah tangga, bahkan ianya mampu untuk dizahirkan oleh semua golongan yang berstatus wanita.
9. Merendah diri.
Lelaki suka wanita macam ni. Biarlah dipuji sepuluh kali, seorang wanita yang sentiasa merendahkan dirinya dalam hubungan percintaan amat disukai oleh lelaki. Lelaki amat benci wanita yang ego, yang mementingkan diri sendiri dan merendah-rendahkan pula pasangannya.
credit to:
ReplyDeletehttp://sangmentari.wordpress.com/2010/06/29/9-wanita-disukai-lelaki/